Friday, July 18, 2014

Cerita Lelongan Jun dan Awal Julai 2014

Bulan Jun dan Bulan Julai adalah bulan yang agak slow untuk aku. Cuti sekolah dari 28 May sehingga 15 Jun, anak no 4 yang lahir pada 5 Jun, Ramadhan yang bermula pada 29 Jun,  dan listing yang kurang menarik. Hasil gabungan semuanya, tak banyak lelongan yang aku turun.  5 Jun, aku berada di hospital, patutnya ada satu lelongan sesi petang di Rajan Auctioneer. Nasib baik Samsul Brunsfield boleh turun sendiri. Pun begitu, nasib baik bertukar kepada nasib buruk, apabila selepas beliau mendaftar dan menunggu untuk unit dilelong, unit di isytiharkan called off. Hehehe.. perkara biasa. 6 jun juga unit di Puchong dengan harga reserve 180k, called off. Tarmizi yang turun membida untuk satu unit di Seri Kembangan pada harga reserve 180k tewas pada harga 292k. 10 Jun, aku turun ke Seremban High Court untuk membida 2 unit, satu untuk Abang Brahim, dan satu untuk Brader Cengkok. Matahari Indah, tak seindah namanya, dari harga reserve 153k kita tewas pada harga 224k. Taman Nusa Intan, 150k, kita tewas juga pada harga 210k. Dengan itu, aku terus ke KL pula untuk sesi lelongan petang di PAH. Satu unit di Puchong, yang baru di cat semula warna cream/purple, terletak bersebelahan Highway Kesas, di buka pada harga reserve 220k. Dengan tunggakan maintenance yang tinggi, dan bank cuma cover untuk 6 tahun terkini sahaja, kita rasa, tak ramai yang masuk membida. Rasa kita meleset, lebih kurang 30 orang yang masuk membida. Tewas juga, pada harga 328k.


Lelongan Mega CIMB bulan Jun, aku tak turun. Tiada yang aku rasakan menarik. 14 Jun aku turun ke PAH untuk Azhar Zain. Berjumpa rakan2 lama, Pie dan Hafiz yang membida unit high end. Unit yang aku bida ini, telah lebih kurang 6 kali di lelong. Dengan harga reserve terkini RM850,500.00 rupanya ramai yang masuk membida. Tewas lagi pada harga 975k. 23 Jun, aku turun Lucky Plaza di Seremban. Lelongan anjuran Eszam Auctioneer. Satu unit di Melaka, Menara Ambai dengan harga reserve 87k sahaja. Kalau ikutkan market price, memang 3-4 kali ganda dari itu. Cuma ada 4 pembida. Budget kita tak lah tinggi sangat. Kita lawan sehingga 131k sebelum tewas pada harga 132k. Ada sesuatu yang menghalang kita dari bid tinggi2. Lelongan ini adalah unit milik Maybank. Maybank hanya cover maintenance sehingga 10% dari harga reserve, iaitu 8.7k sahaja. Maintenance tertunggak unit tersebut pula, lebih kurang 120k. Itu baru maintenance, belum cukai taksiran dan lain2. 25 Jun pula, membida satu unit untuk Nasir Kia, unit di Bangi dengan harga reserve 140k. Unit ini sebenarnya telah dilelong dan terjual sebelum ini, tapi kini dilelong semula, kerana loan pembeli sebelum ini tak lepas. Ayah pada pembeli sebelum ini, datang ke lelongan ini, untuk membida semula. Unit tersebut telah di renovate oleh pembeli baru, sebab itu dia berusaha untuk membida unit ini semula. Pun begitu, dia dan sudah semestinya aku, tewas, pada harga 218k.  26 Jun, sesi pagi di Hotel istana, Unit Kondo rakyat 80k terlelong pada harga 127k, tewas, dan sebelah petang, di Sejahtera Auctioneer, aku temankan member Yeop, Ahmad Ridzuan untuk membida satu unit di Seri Kembangan pada harga reserve 180k. Dengan skill gear 4, unit berjaya di bida pada harga reserve, 180k.  27 Jun, aku turun ke JTR Auctioneer untuk membida bagi pihak Cik Aisyahaiza untuk satu unit di Puchong. Abang Brahim juga turun membida untuk satu unit di Banting. Kita tewas kedua-duanya. Dan itulah penamat untuk lelongan bulan Jun, dengan satu kemenangan sahaja. 


Masuk bulan Julai, lagi sangap. Aktiviti aku sehari-hari, menghantar anak pergi sekolah, pergi pasar pagi beli lauk fresh buat masak untuk buka nanti. Tido sikit, petang ambik anak balik sekolah, dan masak untuk berbuka. Aku cuma bermula pada 12 Julai, iaitu lelongan Mega CIMB. Tetapi lelongan mega CIMB kali ini adalah sesuatu yang aku jangkakan lagi ramai orang datang. Dengan lebih dari 200 unit di lelong, banyak unit2 hot dengan kebanyakan harga reserve lebih separuh dari harga pasaran, semestinya ramai yang akan memeriahkan suasana. Aku sendiri, datang untuk membida lebih kurang 16 unit. Brader2 power yang lain macam Suhaidi, Ishak Hat, Hafiz Kamaruddin pun membida untuk berbelas2 unit di lelongan Mega CIMB kali ini. Macam power je... macam banyak sangat je.. macam boleh menang je.. hahahaha... Satu persatu.. kita tewas. Lepas bersahur, aku tak tidur terus. Bersiap untuk turun ke tempat lelong. Pukul 7 dah gerak ke Hotel Istana, pukul 7.30 pagi dah sampai. Ada juga yang lebih awal sampai daripada aku. Pelelong pun tak sampai lagi. Pukul 8 baru NCM buka kaunter registration. Sepatutnya pukul 9.15 last registration dan pukul 9.30 lelongan NCM bermula. Aku tengok dah pelbagai cara cuba di implement oleh pihak CIMB dan pelelong dalam memastikan kelancaran lelongan Mega CIMB, tapi resultnya tak jauh beza. Selalu tersasar masa. Selain daripada lelongan CIMB Mega, mana lagi nak tengok orang beratur panjang untuk register bidding rumah lelong? Takde. Kalau buat kat pejabat pelelong, atau hotel oleh bank lain, beratur tak panjang, dan boleh buat on time. Dalam 1-2 jam dah selesai. Tapi kalau CIMB Mega, pukul 8 sampai pukul 3 petang. Dah macam satu hari bekerja. 
Untuk NCM 2 unit yang Samsul Brunsfield nak bida, telah pun called off. Tinggal 4 unit yang akan aku bida untuk Aiman Hussin, Hafizie Manan dan Nasir Kia. Unit Iris Apt dengan harga reserve 48.6k kita tewas pada harga 115k. Unit Kiambang Apt 80k, groundfloor, kita tewas pada harga 135k. Unit Taman Mas 90k, kita tewas pada harga 98k. Unit di Seri Kembangan 75k, kita termenang pada harga 81k. Macam mana boleh termenang? Masa Mr Foong mulakan lelongan, aku rasa yang aku yang first angkat paddle. Budget kita lebih rendah dari 81k tersebut, jadi sebab itu aku angkat dahulu. Disebabkan orang yang sangat ramai, Mr Foong mengambil kira siapa yang dia rasa angkat dahulu, dan pada giliran aku, dia ambil kira aku 81k. Hah.. Ini dah lebih budget. Menggelabah jugak kalau Aiman tak setuju. Aku setujukan aje dahulu dengan Mr Foong, dan aku contact Aiman. Nasib baik Aiman kata ok dan boleh teruskan pembelian. Selesai satu kemenangan. Dan menunggu untuk lelongan PAH pula.
Lelongan CIMB Mega adalah satu acara yang sesuai untuk pendedahan kepada dunia lelongan, satu acara yang mengumpulkan ramai pembida, dan di sinilah boleh berjumpa ramai kawan2 seperjuangan di satu tempat. Maka ramailah yang aku jumpa, baik kawan2 lelong, kawan agent mahupun kawan2 zaman belajar dahulu. Samsul Brunsfield turut datang untuk melihat sendiri satu unit yang akan di bidanya. Tarmizi, membida 6 unit untuk diri sendiri. Aku wakilkan Nasir Kia untuk 3 lagi unit dan Brader Hanan, aku wakilkan juga untuk satu unit, serta percubaan kali kedua untuk Cik Aisyahaiza. Satu unit di Meru, yang pernah aku dapatkan 2 unit untuk Hanan melalui discount bid, pada harga 35k setiap satu, kini dilelong oleh CIMB pada harga 45k. Juga aku bida untuk Hanan, dengan harapan lawan sikit2 cukuplah. Malangnya, lelongan dimulakan oleh Mr Danny pada harga 60k. Memang aku tak angkat la. Akhirnya harga mati pada 84k. Pangsapuri Taman Perkasa dengan harga reserve 48.7k juga dimulakan oleh Mr Danny pada harga 60k, juga aku tak angkat langsung, akhirnya mati pada harga 70k. Unit Kota Damansara dengan harga reserve 65k, di mulakan oleh Mr Danny pada harga 80k. Unit yang di bida oleh Samsul Brunsfield ini, sengit sehingga mencecah lebih 100k. Samsul terus bagi iyarat untuk aku lawan, sampailah last aku angkat pada harga 138k sebelum pembida lain angkat pada harga 140k. Untuk satu unit low cost tingkat satu 140k, ianya memang mahal. Jadi, kita lepaskan. Boleh cuba lain kali. Aman Puri 125k yang di bida oleh Tarmizi, naik melebihi 200k. Last Tarmizi angkat pada harga 200k sebelum dipintas pembida lain 202k dan harga mati pada 202k. Kekalahan demi kekalahan. Langat Murni, Kasturi Apt, Putra Intan, semuanya tewas. Taman Mas 85k pula naik sehingga 112k. Taman Mas 60k adalah cubaan terakhir hari ini, dan aku tewas bila harga naik melebihi 100k juga. Tarmizi yang tidak mahu ulang dengan tangan kosong, akhirnya membida unit ini, pada harga 122k. Satu rekod baru untuk Taman Mas. Dan berakhirlah lelongan CIMB Mega, dengan aku membawa 2 kemenangan. 

Dengan listing yang nampaknya tidak begitu menarik, aku rasakan bulan sehingga akhir Julai, aku akan sangap. Mungkin 23 Julai baru aku turun semula lelongan. 

Monday, March 31, 2014

Cerita Lelong Bulan Feb-Mac 2014

Esok adalah hari lelongan terakhir untuk bulan March. Ada beberapa unit yang aku cuba bida untuk Brader Cengkok dan Nasir Kia. Itupun kalau tak called off. Lelongan MBSB, apalah sangat yang boleh diharapkan. Walau 100 yang diiklankan.. Kalau pada akhirnya tinggal 15.. Dan yang 15 itupun bukan kawasan pilihan.. Apalah yang nak diharapkan.

Lelongan CIMB Mega bulan Feb adalah seperti yang dijangkakan, acara tetap membuang masa. Aku bida 4 unit, cuma satu yang kena. 3 yang kalah, boleh dikatakan kalah teruk. Pantai Indah dengan harga reserve RM122k naik kepada RM255k, Bandar Tasik Kesuma RM70k naik kepada RM136k dan Taman Mas 50k naik kepada RM100k. 26 Feb, aku turun ke Shah Alam High Court bersama pembida. Dah lama tak turun, tempat lelong pun dah bertukar ke tempat baru. Bukan lagi sebelah kafeteria. Ok juga tempat baru, kurang sesak dan boleh dapat coverage phone. Client adalah Azraie dan Siti Jalilah yang merupakan kawan kepada kawan kepada kawan aku, Zam Luqman. Jauh connection dia. Kita cuba satu unit di Meru. 1.5 Tingkat, Semi-D dengan harga RM207k. Akan tetapi..disaat akhir sebelum membida, baru kita dapat tahu, ada kaveat. Sudahlah hanya 2 pembida sahaja.. Mahu tak mahu.. Terpaksalah kita let go sahaja. Petangnya pula, ada satu unit di Puchong Permai yang dilelong pada harga RM130k dengan market value sekitar RM230k. Sesampai aku di NCM, rupanya called off last minute. Itulah nasib dunia lelong. Sebelum pukul 12 tengahari kita dah confirmkan unit masih aktif, lepas pukul 2 petang, called off pula. 28 Feb pula, hari terakhir lelongan bulan Feb, aku masuk membida satu unit di Seri Kembangan. Kawan Yob pun masuk membida unit ini juga. Dengan budget yang agak rendah, aku dapat rasakan, akan tewas. Percubaan kesekian kalinya untuk Azlie, gagal. Dari harga RM160k naik kepada RM184k. Kalau cerita dulu.. Aku pernah bid untuk Din OCBC, harga buka 78k, menang pada harga 85k. Ahh.. Dulu beb.. Dulu..

Masuk bulan March, keadaan sibuk semula. 5 March aku bida satu unit untuk Samsul Brunsfield. Tahun ini, Samsul belum menang unit lelong lagi. Kita cuba satu unit low cost di Subang dengan harga reserve 49k sahaja. Itupun dah cecah 8 bidder, dengan harga akhir 71k. Tewas adalah perkara biasa. 14 March, kita mencuba nasib lagi, di lelongan Hong Leong Bank. Unit di Putra Perdana, dengan harga reserve RM75k.. Aku tau akan ada saingan. Dengan budget yang agak boleh tahan.. Adalah sedikit harapan untuk menang. Bila lelongan bermula, 13 orang yang masuk membida. Harga akhirnya menjadi RM120k. Tinggi.. Memang tinggi. Unit Saujana Putra pula, dari harga RM75k, naik kepada RM101k.. Budak emo yang menang.. Memang power budak ni.. Heheheh.. Lastly, unit Batu Caves, dengan harga reserve RM81k .. 2 kali Nasir Kia up budget dia untuk memastikan kemenangan, dengan last kita lawan pada RM114k, akhirnya tewas juga pada harga RM116k. Tiada lagi rezeki untuk menang setakat ini. 

Separuh minggu pertama, kita masih 0. Masuk babak separuh minggu kedua.. Keadaan mula berubah. 19 March aku turun lagi ke High Court Shah Alam bersama Siti Jalilah untuk membida unit di Meru. Unit Semi-D Single storey pula, dengan harga reserve RM210k. Sebelum pukul 9.30 pagi, kita masukkan bank draft.. Dan menunggu. Dalam tempoh menunggu, sempat aku cari2 kalau ada orang lain masuk juga. Ramai yang datang hari ini, membida untuk unit di Taman Sentosa Klang. Menghampiri 10.30 pagi, kita dapat tahu cuma kita sahaja pembida tunggal. Cuma.. Ada masalah lain. Aku tengok ada sorang pakcik ni, turut menunggu. Lalu aku tanya unit mana yang dia masuk. Ceritanya, rumah dia nak kena lelong hari ini. Unit di Meru RM210k. Alamak.. Hehehe.. Tapi kita tak boleh nak buat apa2. Sebab kita dah register untuk unit ini. Dan lawyer pun dah confirmkan kita pembida tunggal. Pakcik ni datang dengan harapan kalau2 boleh tarik semula dari lelong. Tapi itulah kesilapan dia, cuma datang hari ini. Kalau dia datang jumpa bank sebelum hari lelongan, mungkin boleh tarik semula. Jadi, hari ini, kita dapat menjadi pembida tunggal setelah 2 kali percubaan untuk Azraie dan Siti Jalilah. Urusan dengan pemilik kita akan selesaikan kemudia. Sambil2 menunggu di High Court, Brader Joe yang dah lama tak masuk gelanggang lelong, jumpa aku untuk pass bank draft. Semenjak baru dapat hasil jualan, barulah nak aktif semula. Sebelah petangnya aku akan membida untuk Brader Joe di NCM. Tapi belum ada rezeki lagi, kalah kepada Halim.




20 March, aku turun ke Land Office Bangi untuk membida satu unit hot di Pandan. Dengan harga reserve RM140k, market value sekarang menghampiri RM300k. Lebih kurang 23 pembida untuk unit ini. Aku tak sempat angkat tangan pun. Harga mati pada RM270k. Ada satu unit Semi-D yang berpotensi untuk dibida hari ini. Dengan hanya berharga RM380k dengan harga market sekitar RM600k, Nasir Kia agak kecewa bila rakan2 JV nya tak berani nak masuk unit ini. Unit ini di menangi pada harga reserve oleh orang lain.. Rugi.. Rugi.. Petangnya pula.. Aku ke NCM untuk lelongan Maybank. Ada 2 unit yang akan di bida. Satu di bandar Sg Buaya dengan harga reserve RM63k dan satu Di Shah Alam dengan harga RM194k. Percubaan Azlie kali ini berjaya. Kita berjaya mendapatkan unit di Shah Alam ini pada harga reserve sahaja. Percubaan kedua Brader Joe untuk tahun ini, masih belum berjaya. Dengan 13 pembida, harga mati unit di Sg Buaya, 89k dengan kemenangan kepada Suhaidi, Tok Penghulu Rawang....

22 March.. Acara tetap membuang masa kembali lagi. CIMB Mega Auction. 4 unit akan di bida hari ini. Kalau beberapa hari sebelum ini, kita tewas di Putra Perdana pada harga 120k, hari ini kita mencuba nasib lagi. Rupanya nasib yang lebih teruk. Dari harga reserve 65k.. Naik kepada RM160k.. Hahaha.. Memang gila. Unit di Ukay Perdana pun tak kurang gilanya, dari RM118k naik kepada RM255k, Unit di Puchong Permai, dari 89k naik kepada 140 dan akhir sekali, unit di Rawang dengan harga reserve 25k, naik kepada 71k. Tewas lah ke empat2 nya.

27 March, hari yang agak sibuk. Aku ke High Court KL untuk menemani 2 client yang akan membida 2 unit yang berlainan. Hari ini juga, ada cerita kelakar yang berlaku di High Court KL. Ada kes lain di Ehsan yang diwakili Hafiz budak emo. High Court KL, game lelong yang berlainan. Sebelum pukul 9 pagi, letak bank draft dan terus di kuarantinkan. Haifanizam masuk satu unit di Shah Alam dengan harga reserve 99k. Unit yang agak bermasalah sebenarnya. Owner asal bankrupt dan terdapat beberapa kaveat yang diletakkan diatas unit ini, oleh bank yang menuntut hutang dan oleh individu lain. Haifanizam aka adik Hafizie, berani untuk membida. Rupanya orang lain pun berani juga. Aku tak pasti sama ada mereka yang lain itu faham status kaveat tersebut atau tidak, tapi kebarangkalian untuk buat loan, adalah tipis. 13 orang membida untuk unit ini, dan harga yang dimenangi adalah RM170k. Haifanizam tewas.

Satu lagi unit adalah unit di Ampang. Cerita panjangnya, bulan Nov tahun lepas, Amir lawyer aku, inform yang kawannya nak bida satu unit bernilai 1.2M. Dia nak minta tolong kalau aku boleh wakilkan kawannya, sebab kawannya akan berada di luar negara pada waktu lelongan di adakan. High Court. Aku tak berkelayakan untuk mewakili pembida. Jadi, kita pun tak jadi masuklah. Rupanya tiada pembida untuk unit tersebut. Kita ikuti perkembangan unit tersebut dan kita dapat tahu bulan March lelongan semula di adakan dengan harga reserve turun kepada 1.08M. Beberapa hari sebelum lelongan kita buat site visit unit tersebut dan advice apa yang patut dilakukan pada hari lelongan. Maka hari ini, aku, Amir dan Hadzi turun ke Jalan Duta dengan harapan untuk mendapatkan unit tersebut pada harga reserve. Pukul 8 pagi dah sampai, lepak di kafeteria, pukul 8.40 pagi baru naik ke tingkat 2. Hadzi terus serah bank draft dan masuk ke bilik kuarantin. Communication selanjutnya adalah by sms. Beberapa ketika kemudian, Hadzi bagitau ada 2 orang lain yang sibuk tanya siapa masuk Ampang. Hadzi buat tak tau.. Duduk senyap sorang2 dia. Diorang tau ada orang lain masuk unit Ampang ini, dan cuba nak kawtim. Diorang nak offer Hadzi untuk bagi laluan diorang menang. Hadzi taknak.. Diorang offer lebih tinggi.. Hadzi taknak.. Atau.. Diorang minta Hadzi buat tawaran pula. Hadzi hampir goyang untuk buat tawaran, tapi.. Jam sudah pun menunjukkan waktu 9.30 pagi. Lelongan akan di mulakan.. Pembida2 sudah di panggil masuk ke bilik lelongan. Bermula dengan unit Shah Alam RM99k. Geng yang nak offer Hadzi juga telah masuk ke dalam bilik lelongan, meninggalkan Hadzi. Hahahahaha.. Part ni aku dah gelak gila.. Bukan sebab gembira yang Hadzi akan menang pada harga reserve, tetapi pada kesilapan yang dilakukan oleh ulat lelong. Diorang dapat tahu yang kita masuk unit 1.08M dan diorang nak kacau. Tapi diorang kacau truly base on luck. Trying their luck kalau Hadzi setuju nak kawtim. Tapi diorang masuk menggunakan ticket unit Shah Alam 99k. Kalaupun Hadzi setuju kawtim, tapi pada akhirnya dia masuk bilik lelong dengan menang harga reserve, kan terkantoi jua akhirnya.. Akhirnya, lepas gelak.. Barulah aku boleh gembira untuk Hadzi yang menang pada harga reserve. Tahniah..

Menghampiri pukul 11 pagi kes selesai, aku terus gerak ke Ehsan. Satu unit di Kajang akan dibida, di wakili oleh Hafiz budak emo. Sesampai aku di Ehsan lelongan baru sahaja selesai, tapi sesuatu masih boleh dilakukan. Jurus rahsia boleh digunapakai kalau perlu. Tapi aku terlambat. Dan kita tewas lagi. Dari harga 81k naik kepada 100k. Disebabkan petang aku free, aku follow Hafiz budak emo yang akan membida unit di Puncak Alam. Semenjak 2-3 menjak Puncak alam dah hot, Brader Joe dan lain2 pemain area Puncak Alam dah tak berminat masuk membida di sini. Harga selalunya mencecah sekitar 80-90k. Hari ini, Hafiz berjaya mendapatkan kedua2 unit tersebut pada harga reserve 70k dan 80k, untuk dia dan clientnya. Tahniah.. Nanti kita pergi makan ramai2..