Friday, July 18, 2014

Cerita Lelongan Jun dan Awal Julai 2014

Bulan Jun dan Bulan Julai adalah bulan yang agak slow untuk aku. Cuti sekolah dari 28 May sehingga 15 Jun, anak no 4 yang lahir pada 5 Jun, Ramadhan yang bermula pada 29 Jun,  dan listing yang kurang menarik. Hasil gabungan semuanya, tak banyak lelongan yang aku turun.  5 Jun, aku berada di hospital, patutnya ada satu lelongan sesi petang di Rajan Auctioneer. Nasib baik Samsul Brunsfield boleh turun sendiri. Pun begitu, nasib baik bertukar kepada nasib buruk, apabila selepas beliau mendaftar dan menunggu untuk unit dilelong, unit di isytiharkan called off. Hehehe.. perkara biasa. 6 jun juga unit di Puchong dengan harga reserve 180k, called off. Tarmizi yang turun membida untuk satu unit di Seri Kembangan pada harga reserve 180k tewas pada harga 292k. 10 Jun, aku turun ke Seremban High Court untuk membida 2 unit, satu untuk Abang Brahim, dan satu untuk Brader Cengkok. Matahari Indah, tak seindah namanya, dari harga reserve 153k kita tewas pada harga 224k. Taman Nusa Intan, 150k, kita tewas juga pada harga 210k. Dengan itu, aku terus ke KL pula untuk sesi lelongan petang di PAH. Satu unit di Puchong, yang baru di cat semula warna cream/purple, terletak bersebelahan Highway Kesas, di buka pada harga reserve 220k. Dengan tunggakan maintenance yang tinggi, dan bank cuma cover untuk 6 tahun terkini sahaja, kita rasa, tak ramai yang masuk membida. Rasa kita meleset, lebih kurang 30 orang yang masuk membida. Tewas juga, pada harga 328k.


Lelongan Mega CIMB bulan Jun, aku tak turun. Tiada yang aku rasakan menarik. 14 Jun aku turun ke PAH untuk Azhar Zain. Berjumpa rakan2 lama, Pie dan Hafiz yang membida unit high end. Unit yang aku bida ini, telah lebih kurang 6 kali di lelong. Dengan harga reserve terkini RM850,500.00 rupanya ramai yang masuk membida. Tewas lagi pada harga 975k. 23 Jun, aku turun Lucky Plaza di Seremban. Lelongan anjuran Eszam Auctioneer. Satu unit di Melaka, Menara Ambai dengan harga reserve 87k sahaja. Kalau ikutkan market price, memang 3-4 kali ganda dari itu. Cuma ada 4 pembida. Budget kita tak lah tinggi sangat. Kita lawan sehingga 131k sebelum tewas pada harga 132k. Ada sesuatu yang menghalang kita dari bid tinggi2. Lelongan ini adalah unit milik Maybank. Maybank hanya cover maintenance sehingga 10% dari harga reserve, iaitu 8.7k sahaja. Maintenance tertunggak unit tersebut pula, lebih kurang 120k. Itu baru maintenance, belum cukai taksiran dan lain2. 25 Jun pula, membida satu unit untuk Nasir Kia, unit di Bangi dengan harga reserve 140k. Unit ini sebenarnya telah dilelong dan terjual sebelum ini, tapi kini dilelong semula, kerana loan pembeli sebelum ini tak lepas. Ayah pada pembeli sebelum ini, datang ke lelongan ini, untuk membida semula. Unit tersebut telah di renovate oleh pembeli baru, sebab itu dia berusaha untuk membida unit ini semula. Pun begitu, dia dan sudah semestinya aku, tewas, pada harga 218k.  26 Jun, sesi pagi di Hotel istana, Unit Kondo rakyat 80k terlelong pada harga 127k, tewas, dan sebelah petang, di Sejahtera Auctioneer, aku temankan member Yeop, Ahmad Ridzuan untuk membida satu unit di Seri Kembangan pada harga reserve 180k. Dengan skill gear 4, unit berjaya di bida pada harga reserve, 180k.  27 Jun, aku turun ke JTR Auctioneer untuk membida bagi pihak Cik Aisyahaiza untuk satu unit di Puchong. Abang Brahim juga turun membida untuk satu unit di Banting. Kita tewas kedua-duanya. Dan itulah penamat untuk lelongan bulan Jun, dengan satu kemenangan sahaja. 


Masuk bulan Julai, lagi sangap. Aktiviti aku sehari-hari, menghantar anak pergi sekolah, pergi pasar pagi beli lauk fresh buat masak untuk buka nanti. Tido sikit, petang ambik anak balik sekolah, dan masak untuk berbuka. Aku cuma bermula pada 12 Julai, iaitu lelongan Mega CIMB. Tetapi lelongan mega CIMB kali ini adalah sesuatu yang aku jangkakan lagi ramai orang datang. Dengan lebih dari 200 unit di lelong, banyak unit2 hot dengan kebanyakan harga reserve lebih separuh dari harga pasaran, semestinya ramai yang akan memeriahkan suasana. Aku sendiri, datang untuk membida lebih kurang 16 unit. Brader2 power yang lain macam Suhaidi, Ishak Hat, Hafiz Kamaruddin pun membida untuk berbelas2 unit di lelongan Mega CIMB kali ini. Macam power je... macam banyak sangat je.. macam boleh menang je.. hahahaha... Satu persatu.. kita tewas. Lepas bersahur, aku tak tidur terus. Bersiap untuk turun ke tempat lelong. Pukul 7 dah gerak ke Hotel Istana, pukul 7.30 pagi dah sampai. Ada juga yang lebih awal sampai daripada aku. Pelelong pun tak sampai lagi. Pukul 8 baru NCM buka kaunter registration. Sepatutnya pukul 9.15 last registration dan pukul 9.30 lelongan NCM bermula. Aku tengok dah pelbagai cara cuba di implement oleh pihak CIMB dan pelelong dalam memastikan kelancaran lelongan Mega CIMB, tapi resultnya tak jauh beza. Selalu tersasar masa. Selain daripada lelongan CIMB Mega, mana lagi nak tengok orang beratur panjang untuk register bidding rumah lelong? Takde. Kalau buat kat pejabat pelelong, atau hotel oleh bank lain, beratur tak panjang, dan boleh buat on time. Dalam 1-2 jam dah selesai. Tapi kalau CIMB Mega, pukul 8 sampai pukul 3 petang. Dah macam satu hari bekerja. 
Untuk NCM 2 unit yang Samsul Brunsfield nak bida, telah pun called off. Tinggal 4 unit yang akan aku bida untuk Aiman Hussin, Hafizie Manan dan Nasir Kia. Unit Iris Apt dengan harga reserve 48.6k kita tewas pada harga 115k. Unit Kiambang Apt 80k, groundfloor, kita tewas pada harga 135k. Unit Taman Mas 90k, kita tewas pada harga 98k. Unit di Seri Kembangan 75k, kita termenang pada harga 81k. Macam mana boleh termenang? Masa Mr Foong mulakan lelongan, aku rasa yang aku yang first angkat paddle. Budget kita lebih rendah dari 81k tersebut, jadi sebab itu aku angkat dahulu. Disebabkan orang yang sangat ramai, Mr Foong mengambil kira siapa yang dia rasa angkat dahulu, dan pada giliran aku, dia ambil kira aku 81k. Hah.. Ini dah lebih budget. Menggelabah jugak kalau Aiman tak setuju. Aku setujukan aje dahulu dengan Mr Foong, dan aku contact Aiman. Nasib baik Aiman kata ok dan boleh teruskan pembelian. Selesai satu kemenangan. Dan menunggu untuk lelongan PAH pula.
Lelongan CIMB Mega adalah satu acara yang sesuai untuk pendedahan kepada dunia lelongan, satu acara yang mengumpulkan ramai pembida, dan di sinilah boleh berjumpa ramai kawan2 seperjuangan di satu tempat. Maka ramailah yang aku jumpa, baik kawan2 lelong, kawan agent mahupun kawan2 zaman belajar dahulu. Samsul Brunsfield turut datang untuk melihat sendiri satu unit yang akan di bidanya. Tarmizi, membida 6 unit untuk diri sendiri. Aku wakilkan Nasir Kia untuk 3 lagi unit dan Brader Hanan, aku wakilkan juga untuk satu unit, serta percubaan kali kedua untuk Cik Aisyahaiza. Satu unit di Meru, yang pernah aku dapatkan 2 unit untuk Hanan melalui discount bid, pada harga 35k setiap satu, kini dilelong oleh CIMB pada harga 45k. Juga aku bida untuk Hanan, dengan harapan lawan sikit2 cukuplah. Malangnya, lelongan dimulakan oleh Mr Danny pada harga 60k. Memang aku tak angkat la. Akhirnya harga mati pada 84k. Pangsapuri Taman Perkasa dengan harga reserve 48.7k juga dimulakan oleh Mr Danny pada harga 60k, juga aku tak angkat langsung, akhirnya mati pada harga 70k. Unit Kota Damansara dengan harga reserve 65k, di mulakan oleh Mr Danny pada harga 80k. Unit yang di bida oleh Samsul Brunsfield ini, sengit sehingga mencecah lebih 100k. Samsul terus bagi iyarat untuk aku lawan, sampailah last aku angkat pada harga 138k sebelum pembida lain angkat pada harga 140k. Untuk satu unit low cost tingkat satu 140k, ianya memang mahal. Jadi, kita lepaskan. Boleh cuba lain kali. Aman Puri 125k yang di bida oleh Tarmizi, naik melebihi 200k. Last Tarmizi angkat pada harga 200k sebelum dipintas pembida lain 202k dan harga mati pada 202k. Kekalahan demi kekalahan. Langat Murni, Kasturi Apt, Putra Intan, semuanya tewas. Taman Mas 85k pula naik sehingga 112k. Taman Mas 60k adalah cubaan terakhir hari ini, dan aku tewas bila harga naik melebihi 100k juga. Tarmizi yang tidak mahu ulang dengan tangan kosong, akhirnya membida unit ini, pada harga 122k. Satu rekod baru untuk Taman Mas. Dan berakhirlah lelongan CIMB Mega, dengan aku membawa 2 kemenangan. 

Dengan listing yang nampaknya tidak begitu menarik, aku rasakan bulan sehingga akhir Julai, aku akan sangap. Mungkin 23 Julai baru aku turun semula lelongan.